Penyakit Lelah


PENGENALAN TENTANG LELAH
Lelah di kalangan kanak-kanak adalah penyakit yang biasa dan ia melibatkan semua peringkat umur. 10 -14 % kanak-kanak sekolah menghidap lelah. Walau bagaimanapun, banyak kajian menunjukkan bahawa penyakit ini semakin menular dan lebih serius di kalangan kanak-kanak.
Serangan lelah boleh tergolong kepada serangan yang tidak serius, sederhana hingga ke tahap yang boleh mengancam nyawa. Serangan lelah adalah sebab utama/punca kanak-kanak dimasukkan ke hospital.
Lelah terjadi kepada kanak-kanak sama ada mereka mempunyai sejarah lelah dikalangan ahli keluarga ataupun tidak. Kanak-kanak yang ada sejarah lelah di kalangan ahli keluarga dan penyakit alahan lain seperti ekzema, allergic rhinitis dan demam alah (hay fever) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat lelah.

APAKAH ITU LELAH?
Lelah adalah satu penyakit radang sistem pernafasan yang kronik, di mana salur pernafasan menjadi:
Ⓐ Merah.
Ⓑ Bengkak.
Ⓒ Menghasilkan lendir berlebihan.
Ⓓ Mudah terangsang (hypersensitive).
Apabila terdedah kepada rangsangan atau faktor pencetus, salur pernafasan menjadi sempit dan ini menyebabkan kesukaran bernafas.

Tahap serangan 
lelah berubah mengikut masa bergantung kepada pendedahan terhadap pencetus dan ubat kawalan lelah.

APAKAH FAKTOR PENCETUS?
Ada beberapa faktor pencetus yang menyebabkan gejala lelah. Ada faktor pencetus yang biasa kepada semua pengidap lelah, manakala ada antaranya bergantung kepada individu tersebut. Antara faktor pencetus lelah adalah:
① Jangkitan virus pada sistem pernafasan.
② Merokok.
③ Perubahan cuaca.
④ Alahan pada debunga seperti house dust mile, kulat dan binatang peliharaan.
⑤ Senaman.
⑥ Bahan perangsang seperti minyak wangi, bau cat dan habuk lantai.
⑦ Makanan dan perasa tambahan makanan.
⑧ Ubat seperti aspirin atau lain-lain ubat tahan sakit (NSAIDs atau pain killer).
⑨ Emosi.
⑩ Gastro-oesophageal reflux (Pengaliran asid dari dalam perut ke atas).

APAKAH GEJALA LELAH?
Gejala utama lelah:
❶ Batuk.
❷ Batuk di waktu malam (waktu tidur).
❸ Rasa ketat di dada (nafas berbunyi seperti wisel).
❹ Susah bernafas.

APAKAH TANDA-TANDA LELAH?
❖ Sebahagian dari kanak-kanak tiada tanda perubahan fizikal semasa bebas dari serangan lelah.
❖ Dada berbentuk dada burung (Barrel-shape chest) dapat dielakkan sekiranya lelah dapat dikawal dengan baik.
❖ Adanya tanda-tanda penyakit ekzema dan resdung (allergic rhinitis) juga menyokong diagnosa lelah.

Tanda kelihatan lebih jelas sewaktu serangan lelah. Kanak-kanak mungkin mengalami:
➩ Nafas berbunyi (Audible wheeze).
➩ Susah untuk menghembus nafas (breath out).
➩ Nafas laju.
➩ Denyutan jantung cepat.

Serangan yang teruk menyebabkan kanak-kanak :
➡ Kelihatan gelisah.
➡ Letih lesu.
➡ Bimbang.
➡ Kulit berpeluh dan sejuk.
➡ Warna kebiruan pada bibir dan kuku.
➡ Penurunan pada bacaan peak flow berbanding kadar bacaan peak flow terbaik individu tersebut (predicted value or personal best).
Sasaran rawatan
◈ Untuk menghilangkan dan mengawal gejala lelah.
◈ Mengelak serangan lelah.
◈ Mempunyai kualiti hidup yang baik.
◈ Berupaya menyertai acara sukan.
◈ Menghalang kemusnahan tisu paru-paru.
◈ Mengelakkan kematian.

APAKAH JENIS RAWATAN LELAH?
Ubat lelah terbahagi kepada 3 jenis:
⑴ Ubat Pencegah
➠ Ubat ini dapat mengelakkan serangan lelah dengan mengawal radang di sistem pernafasan. Ia bertindak dengan mengurangkan bengkak dan pembentukan lendir di sistem pernafasan.
⑵ Ubat Pelega
➠ Ubat ini bertindak dengan mengendurkan otot-otot pernafasan dan ini seterusnya akan membuka salur pernafasan yang sempit.
⑶ Ubat kawalan
➠ Ubat ini bertindak mengendurkan otot pernafasan dan mengekalkan salur pernafasan dalam keadaan terbuka buat masa yang lama. Ia digunakan untuk kes serangan lelah yang teruk.

APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENGAWAL LELAH?
❏ Elakkan faktor pencetus lelah.
❏ Gunakan ubat pencegah setiap hari mengikut arahan doktor.
❏ Gunakan ubat lelah dengan cara yang betul.
❏ Kenali tanda serangan lelah dan dapatkan rawatan awal.
❏ Ikut arahan pelan tindakan lelah yang diberi oleh doktor.
❏ Rawatan susulan yang berkala sebagaimana arahan doktor.

BOLEHKAH LELAH DISEMBUHKAN?
Lelah hanya boleh dikawal tetapi tidak boleh disembuhkan. Sebahagian kanak-kanak pulih semasa usia meningkat remaja, manakala sebahagiannya mendapat gejala yang lebih teruk.


Ramai kanak-kanak akan bebas daripada lelah, walau bagaimanapun ada gejala lelah yang menyerang kembali di kemudian hari.