Di kota Damsyiq, ada sebuah masjid
besar yang bernama Masjid Al-Taubah. Kira-kira tujuh puluh tahun yang lalu,
masjid ini pernah diduduki oleh seorang pemuda, penuntut ilmu yang bernama
Sulaim Al-Suyuthi.
Beliau terkenal pandai dalam ilmu
agama dan sangat soleh, tetapi ia sangat fakir. Dia tidak memiliki tempat
berteduh selain sebuah bilik di dalam masjid Al-Taubah. Suatu hari, Sulaim
merasa sangat lapar. Sudah dua hari beliau tidak makan dan tidak memiliki
apa-apa untuk membeli makanan. Pada hari ketiga, beliau merasa hampir mati.
Otaknya berfikir; Apa yang harus
dilakukan?
Malah dia berasa telah sampai kepada
batasan darurat yang membolehkan dirinya memakan bangkai atau mencuri sesuai
keperluan. Dia memilih untuk mencuri.
Masjid Al-Taubah pada waktu itu
berada di tengah-tengah kota raya. Rumah-rumah pada saat itu saling berdekatan
dan atapnya saling berhampiran. Jika seseorang mahu, dia dapat berjalan hingga
ke akhir kota dengan melangkah di atas atap-atap rumah. Syeikh Sulaim segera
memanjat dinding masjid.
Dia terus melangkah ke atap rumah
penduduk. Dia melihat seorang wanita dari atap tersebut, dia segera menutup
matanya dan menjauh. Kemudian dia tiba ke sebuah rumah kosong, dia mencium dari
dalamnya bau sebuah masakan. Bau itu macam magnet yang menarik dirinya untuk
turun.
Dia segera melompat ke dalam rumah
itu dan terus berlari ke dapur. Dia segera mengangkat penutup kuali dan melihat
terung-terung (bazinjan mahsyi) yang sedang dimasak. Tangannya mengambil salah
satu dari terung tersebut dan segera menggigitnya. Namun sebelum ia berhasil
menelan gigitan tersebut, akal dan agamanya kembali.
Hatinya segera berkata, “Auzu billah.
Saya seorang pelajar agama yang tinggal di masjid. Tidak patut saya menceroboh
rumah orang lain dan mencuri makanannya.” Dia menjadi sangat menyesal. Dia lalu
beristighfar dan mengembalikan terung yang telah digigitnya itu ke tempatnya
semula.
Dia kembali ke masjid dan duduk di
sebuah majlis ilmu. Namun kerana sangat lapar, dia hampir tidak mengerti apa
yang didengar. Setelah majlis itu selesai dan semua orang telah kembali ke
rumah masing-masing, tidak ada yang masih berada di dalam masjid kecuali Syeikh
Sulaim dengan gurunya. Dalam keadaan itu seorang wanita berniqab tiba-tiba
datang dan berbicara dengan guru, suaranya sangat halus.
Kemudian guru itu memanggil Syeikh
Sulaim lalu berkata kepadanya, “Perempuan ini memberitahuku bahawa suaminya
baru sahaja meninggal dunia. Dan ia seorang yang asing di negeri ini. Tidak ada
yang menjaganya selain pak ciknya yang sudah sangat tua. Dia mewarisi rumah dan
semua harta suaminya. Untuk itu, ia meminta dicarikan seorang suami yang dapat
menjaga dirinya dari orang-orang jahat. Mahukah engkau menikahinya?”
Syeikh Sulaim berkata, “Ya.”
Lalu Syeikh itu bertanya kepada
perempuan itu, “Mahukah engkau menerimanya sebagai suami?”
Dia menjawab, “Ya.”
Pakcik perempuan itu hadir bersama
dua orang saksi. Akad nikah pun dilaksanakan segera.
Syeikh itu lalu berkata, “Bawalah
suamimu ini.”
Perempuan itu lalu memimpinnya ke
rumah tempat tinggalnya. Apabila perempuan itu menyingkap niqabnya, ternyata
dia adalah seorang wanita yang sangat muda dan cantik.
Juga ternyata, rumah kediamannya
adalah rumah yang tadi dicerobohinya.
Isterinya bertanya, “Mahukah engkau
makan?”
Dia menjawab, “Ya.”
Isterinya segera membuka penutup
kuali dan melihat terung-terungnya. Dia segera berkata, “Hairan sekali, siapa
yang telah masuk ke rumah dan memakan terungku?”
Syeikh Sulaim segera menangis dan
menceritakan kisahnya kepada isterinya.
Isterinya itu segera berkata, “Inilah
buah daripada sifat amanah. Engkau meninggalkan sebiji terung yang haram, Allah
lalu memberikan kepadamu rumah ini berserta seluruh seisinya melalui cara yang
halal.”
Tinggalkan yang Haram
Kisah ini diceritakan oleh Allahyarham
Syeikh Ali Al-Thantawi, seorang ulama besar di Syria yang wafat beberapa tahun
lalu, di dalam muzakarahnya.
Beliau berkata, “Cerita ini kisah
nyata. Saya sendiri mengenali tokoh-tokohnya dan saya masih ingat perincian
ceritanya.”
Masya-Allah, ketika membaca kisah ini
saya kembali teringat kota Damsyiq yang penuh dengan ilmu dan keberkatan.
Kejadian luar biasa sering terjadi di kota ini bagi orang-orang yang ikhlas
menuntut ilmu kerana Allah.
Pengajaran yang terkandung di dalam
kisah ini sangat jelas.
Satu biji terung haram yang anda
tinggalkan kerana Allah akan dibalas dengan rumah besar berserta isinya dan
isteri yang cantik di dunia ini.
Belum lagi balasan tidak terkira
daripada Allah di akhirat kelak,
”Tak seorangpun mengetahui berbagai
nikmat yang menanti dan yang indah dipandang, sebagai balasan bagi mereka atas
apa yang mereka kerjakan.” (surah al-Sajdah: 17).
Meninggalkan perkara haram adalah
ibadah yang paling Allah sukai.
Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan
daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tinggalkanlah
perkara-perkara yang haram, maka engkau menjadi orang yang paling banyak
ibadahnya.”
Siti Aisyah berkata, “Kamu semua
tidak akan membawa amalan yang lebih baik daripada sedikit dosa. Maka barang
siapa yang mahu mengalahkan seorang ahli ibadah yang tidak pernah berhenti
menyembah Allah, maka tahanlah dirinya daripada dosa.”
Para ulama berkata, “Perbuatan taat
dapat dilakukan oleh semua orang. Namun meninggalkan maksiat, hanya dapat
dilakukan oleh orang-orang yang siddiq (jujur kepada Allah).”
Maimun bin Mahran, seorang ulama
tabiin berkata, “menyebut nama Allah dengan lisan adalah perbuatan yang sangat
baik. Namun lebih baik daripada itu ialah seseorang yang mengingat Allah ketika
hampir melakukan maksiat.”
Kredit kepada : akuislam.com